Rabu, 12 Februari 2014

STO :: PUNCA SAKIT BELAKANG

Assalamualaikum.

Saya sering mengalami sakit belakang. Mentelahan, kerja saya memerlukan saya duduk di kerusi sepanjang hari. Jadi, seringkali pinggang dan belakang terasa sakit. Lebih-lebih lagi apabila saya duduk dengan kaedah yang salah. Mana taknya, duduk mengadap monitor dalam tempoh dua jam akan menyebabkan kita lupa cara duduk yang betul. Masalah sakit belakang memang dialami ramai dikalangan kita. Sidang pembaca, kita  masih lagi dalam siri SENDI, TULANG DAN OTOT (STO). Hari ini saya kongsi tentang sakit belakang dengan anda.


80% Orang Mengalami Sakit Belakang 

Doktor sering menasihati agar kita merehatkan pinggang dengan kaedah berbaring. Tetapi makin lama baring berehat, makin sakit pula jadinya. Ketika berbaring kesakitan terasa hilang perlahan-lahan tetapi kembali mengejut apabila cuba bangun atau menggerakkan badan. Benarkah berehat dengan berbaring cara terbaik untuk menghilangkan kesakitan pinggang? Rupa-rupanya kaedah ini disarankan untuk satu atau dua hari saja kerana berbaring terlalu lama juga boleh menyebabkan sakit belakang bertambah teruk. Jika kesakitan masih tidak berkurang, segeralah mencuba kaedah lain atau lebih baik berjumpa doktor supaya ia tidak berlanjutan dan menjejaskan kehidupan.



Boleh dikatakan semua orang pernah sakit belakang terutama di bahagian pinggang, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Dianggarkan 80 peratus orang pernah mengalami sakit belakang yang menyebabkan kerja dan aktiviti harian terganggu. Sakit belakang juga antara punca utama ketidakupayaan bekerja dan penyumbang besar kepada pengambilan cuti sakit.


Sakit belakang menduduki tangga kedua dalam masalah neurologikal (sistem saraf), kata Pakar Bedah Tulang Belakang, Dr Siow Yew Siong. Sakit belakang menandakan ada yang tidak kena dengan saraf kita. Saraf sihat sepatutnya bergerak bebas di dalam badan bagi memastikan bekalan darah, pertukaran cecair badan dan khasiat makanan berlaku dengan sempurna.


Faktor yang Menyumbang Sakit Belakang
  • Postur (kedudukan) badan yang tidak betul
  • Melakukan aktiviti di luar kebiasaan
  • Mengamalkan gaya hidup tidak aktif
  • Terlalu banyak rehat kerana badan manusia dicipta untuk kita bergerak aktif; bukan berehat santai sepanjang masa.
  • Duduk terlalu lama kerana ketika duduk, kita memberi tekanan paling tinggi kepada bahagian bawah tulang belakang. 
  • Obesiti
  • Merokok
  • Tekanan
  • Keadaan fizikal tidak elok
  • Postur badan yang salah
  • Posisi tidur tidak elok
  • Tiada sokongan daripada tilam ketika tidur

Binaan Tulang Belakang




Tulang belakang terdiri daripada 33 tulang vertebra yang dibahagikan kepada tiga jenis
  1. Vertebra servikal (7 tulang pertama bermula di bahagian bawah tengkorak), 
  2. 12 tulang vertebra torasik, 
  3. 5 tulang vertebra lumbar pada bahagian bawah belakang badan, 5 tulang sakrum dan 4 tulang koksiks yang bercantum.

Di antara setiap tulang ini ada satu cakera (disk) yang bertindak sebagai penyerap hentakan, menambah keanjalan tulang belakang untuk ‘dilentur’ ke kiri, kanan, depan dan belakang serta berfungsi mengagihkan berat badan secara seimbang.



Kenapa Apabila Disk Tergelincir Kita Merasa Sakit?



Menurut Dr Siow, kekuatan tulang dan keanjalan otot merosot dengan peningkatan umur. Bahkan cakera yang terletak di antara setiap tulang pada tulang belakang juga mula kehilangan cecair dan keanjalannya; menyebabkan ia hilang kebolehan untuk menyerap hentakan.

Kesakitan boleh berlaku dalam banyak keadaan contohnya mengangkat benda yang terlalu berat atau regangan berlebihan terjadi menyebabkan salah satu otot atau ligamen tergeliat atau kejang. Jika tulang belakang mengalami regangan atau mampatan keterlaluan, satu cakera boleh pecah atau tertolak keluar. Cakera ini akan memberi tekanan kepada lebih 50 saraf yang bercabang daripada saraf tunjang. Apabila akar saraf ini terhimpit atau mengalami keradangan, kita akan mengalami rasa sakit. Lokasi kesakitan itu bergantung kepada saraf mana yang terhimpit atau radang.

Selain itu, bagi masalah sakit pinggang, ia juga boleh disebabkan masalah cakera, artritis, osteoporosis atau lain-lain penyakit tulang. Gejala dialami setiap individu adalah berbeza; ada yang sekadar sakit otot atau sakit seperti ditikam yang menjalar dari satu bahagian ke bahagian lain; menyebabkan pergerakan terhad atau tidak boleh berdiri tegak.

Sakit belakang, khususnya pada bahagian pinggang boleh menjadi petanda kepada masalah kesihatan yang lebih serius terutama bagi kesakitan yang disertai demam atau hilang kawalan untuk buang air kecil atau besar; sakit ketika batuk dan kaki terasa semakin lemah.


Siapa yang boleh mendapat sakit belakang atau sakit pinggang? 

Semua orang tanpa mengira peringkat umur dan risiko mendapatnya meningkat dengan pertambahan umur. Bagaimanapun, masalah ini lebih kerap berlaku pada lingkungan umur 30 hingga 50 tahun; disebabkan proses penuaan dan gaya hidup yang tidak aktif.

Antara masalah yang sering dikaitkan dengan sakit pinggang ialah 
  • kerosakan cakera
  • degenerasi - kemerosotan tulang belakang dan menyebabkan kesakitan belakang ketika bangun tidur atau selepas berjalan lama
  • stenosis spina - juga ada kaitan dengan kesakitan akibat masalah cakera.

Diagnosis dan Rawatan

Masalah sakit belakang boleh dikesan melalui sejarah perubatan dan pemeriksaan fizikal, ujian darah dan ujian imbasan. Ujian imbasan ini seperti

Diskografi (ejen pembandingan akan disuntik ke dalam cakera)

Tomografi komputer (CT) - kaedah cepat untuk mengetahui jika pesakit mengalami masalah cakera, stenosis spina atau kerosakan pada mana-mana tulang belakang.

Ujian pengimejan resonans magnetik (MRI) digunakan bagi mengesan masalah kemerosotan, kecederaan atau penyakit pada tisu, saraf, otot, ligamen dan salur darah. 

Imbasan tulang adalah untuk mengesan dan memantau jika berlaku jangkitan, keretakan atau penyakit pada tulang belakang.


Kebanyakan masalah sakit belakang khususnya sakit pinggang boleh dirawat tanpa pembedahan. Antara kaedah rawatan ialah:
  • Mengawal kesakitan, 
  • Mengurangkan keradangan, 
  • Mengembalikan fungsi dan kekuatan bahagian belakan
  • Mencegah kecederaan daripada berulang.

Menekap bahagian yang sakit dengan ais atau pek panas boleh mengurangkan kesakitan dan keradangan dan membantu sesetengah pesakit untuk bergerak. Sejurus selepas mengalami trauma, pesakit seharusnya menekap pek ais yang dibalut dengan tuala pada bahagian sakit selama 20 minit beberapa kali sehari. Ia bertujuan merehatkan otot dan merangsang aliran darah.

Mandi air suam juga boleh membantu merehatkan otot.

Berehat di katil (baring) tetapi hanya untuk satu atau dua hari saja. Berehat (baring) boleh membuatkan sakit belakang bertambah teruk dan menyebabkan seseorang pesakit mengalami tekanan, kemurungan, melemahkan otot dan kemungkinan berlakunya darah beku pada kaki. Pengidap seharusnya kembali melakukan aktiviti harian secepat mungkin.

Bersenam adalah cara yang paling berkesan untuk mempercepatkan penyembuhan kepada masalah sakit belakang (khususnya sakit pinggang) dan menguatkan otot belakang dan abdomen. Antara senaman yang mudah dilakukan ialah senaman regangan, berenang, berjalan atau menjalani terapi pergerakan bagi memperbaiki koordinasi dan keseimbangan untuk postur dan otot.

Ubat diberi oleh doktor untuk merawat sakit belakang akut dan kronik. Selain itu terapi intervensi (termasuklah suntikan ubat bius steroid pada tisu, sendi atau akar saraf) dan suntikan epidural.

Pembedahan pilihan terakhir, selepas semua kaedah lain tidak berjaya mengurangkan kesakitan. Dapatkan pandangan kedua jika anda disyorkan menjalani pembedahan kerana kini ada banyak kaedah baru yang lebih mudah dan berkesan.


Pencegahan

Bolehkah sakit belakang dielakkan? Ya. Sakit belakang yang disebabkan postur badan kurang baik atau lain-lain sebab bukan trauma (kemalangan) biasanya boleh dielakkan dengan kaedah di bawah:


  1. Kerap bersenam untuk meningkatkan keupayaan dan keanjalan otot. Antara senaman yang baik ialah senaman regangan, yoga, tai chi, berenang atau pilates. Lakukan senaman aerobik seperti berjalan, berjoging, berbasikal, bermain badminton atau menari sekurang-kurangnya tiga kali seminggu selama 20 minit setiap sesi.
  2. Tingkatkan kekuatan anda dengan senaman yang membabitkan seluruh badan, terutama otot perut, belakang, paha dan pinggul. Senaman menguatkan otot kaki dan bahu membantu mengurangkan risiko kecederaan ketika mengangkat benda berat.
  3. Buat pergerakan memanaskan badan sebelum bersenam atau bersukan. Ia penting untuk meningkatkan suhu dan pergerakan otot bagi mengelak risiko kecederaan.
  4. Pelajari posisi atau postur badan yang betul ketika melakukan kerja, terutama ketika mengangkat barang. Berhati-hati ketika anda berasakan ketegangan otot supaya ia tidak tercedera.
  5. Elakkan duduk terlalu lama dan buat senaman regangan atau berjalan seketika setiap 30 minit. Apabila duduk, pastikan paha dan lutut pada posisi selesa, selain menggunakan kerusi yang memberi sokongan pada belakang badan.
  6. Amalkan prinsip ergonomik - sama ada di rumah atau tempat kerja boleh mengurangkan risiko kecederaan. Ini termasuklah menggunakan kerusi yang mempunyai penyandar mengikut bentuk semula jadi tulang belakang.

“Tulang belakang kita mempunyai lengkuk seperti bentuk S terbalik dan sebarang aktiviti yang mengubah lengkuk semula jadi ini, jika dilakukan untuk jangka masa lama, boleh menyebabkan ketidakselesaan. Sekiranya berterusan, ia boleh menyebabkan sakit belakang,"- Dr Siow.



Extra Panduan untuk Anda

Amalkan pemakanan seimbang untuk mengelakkan masalah berlebihan berat badan, terutama di bahagian pinggang. Ini kerana kegemukan di pinggang akan memberi lebih kesan kepada otot di bahagian berkenaan.

Berhenti merokok. Asap rokok akan mengurangkan aliran darah ke bahagian bawah tulang belakang dan menyebabkan cakera lebih mudah mengalami kemerosotan.

Tidur di atas tilam yang boleh memberi sokongan kepada badan, tidak terlalu keras atau lembik sehingga anda ‘tenggelam’ apabila baring di atasnya. Tidur dalam posisi yang membolehkan anda mengekalkan lengkungan tulang belakang yang normal. Tilam yang tidak memberi sokongan kepada badan akan mendorong kita untuk tidur dalam posisi kurang baik, membuatkan otot meregang dan tidak membantu penjajaran tulang belakang - semuanya menyumbang kepada masalah sakit belakang.

SUMBER

                                                        

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...