Khamis, 16 Januari 2014

KAMI DIUJI DENGAN KEMATIAN

Assalamualaikum.



Saat saya menulis kisah ini, kejadian semalam umpama mimpi. Sepertinya ia tidak berlaku dan sangat berharap ia mimpi yang hilang tatkala bangun dari tidur. Kami kehilangan pengasuh anak-anak kami yang sudah pun 4 tahun mengasuh dan mendidik anak-anak. Al-Fatihah buat MakNgah Rosnah. Mahu menafikan hakikat, tapi ia ternyata benar. Jam menunjukkan jam 2.20 pagi, mata saya seperti tidak mahu tidur. Otak aktif dan akhirnya saya mengalah dan bangun menulis.

KRONOLOGI KEJADIAN

3 Minggu lepas
Makngah tiba-tiba mengalami masalah sesak nafas. Makngah tidak dapat tidur malam dan menjadi sangat letih. Katanya tiap kali menutup mata, ada bayangan mahu mencakar wajah. Kami menawarkan bantuan sekiranya perlu. Pakngah menolak dengan baik dan membawa Makngah menemui doktor di klinik. Selang beberapa hari kami bertanyakan lagi keadaannya. Ketika itu makngah menceritakan dia telah pun pergi membuat ujian darah di hospital dan doktor mengesahkannya sihat.

2 Minggu lepas
Akibat terlalu letih, masalah sesak nafasnya makin teruk. Pakngah bercadang membawa makngah menjalani rawatan alternatif di Kuang. Kuang adalah kampung kelahiran Makngah. Ketika ini matanya makin sayu dan Makngah sangat letih. Untuk menunggu hujung minggu bagi menjalani rawatan, Kami cuba membantu sedaya mungkin. Walaupun bukanlah seorang pengamal ilmu perubatan Islam, kami cuba membuatkan air yang dibacakan surah-surah Al-Quran untuk Makngah minum dan mandi. Kami berikan juga MP3 player Ayat-ayat Rukyah untuk dipasang. Selain itu kami bekalkan sedikit vitamin untuk membantunya lebih bertenaga dan tenang. Alhamdulillah, Makngah bertambah baik. Boleh tidur untuk beberapa malam sebelum pergi mendapatkan rawatan di pusat perubatan Islam.

SeMinggu yang lepas
Makngah bertambah baik sejak pulang dari mendapatkan rawatan. Namun sesak nafasnya seperti tidak berkurang. Pergerakannya terhad. Kami bertanya jika tidak mampu untuk menjaga anak-anak. Makngah dan Pakngah adalah insan-insan yang baik. Mereka tidak meminta cuti walaupun dalam keadaaan begitu. Sebaliknya, Pakngah yang menguruskan semua anak-anak yang ada. Mentelahan semua anak sudah besar, jadi kami tidak terlalu risau. Tapi Makngah meminta cuti sehari pada 13/1/2014 untuk membuat rawatan susulan di pusat perubatan Islam.

Kami bersetuju dengan hati yang tenang dan lapang. Makngah telah pun melepasi usia 50 tahun, kami lebih suka jika Makngah minta cuti untuk berubat. Lagipun risaukan lelahnya itu. Doa kami, 4 hari bercuti nanti (11-14 /1/2014 sabtu, ahad, isnin dan selasa~ taipusam) Makngah akan kembali ceria dan sihat. 

15/1/2014
Kami keluar dari rumah awal seperti biasa.Sekitar 7.17 pagi kami sampai di seksyen 10. Pintu rumah masih tertutup. Mungkin kami awal, jadi saya ketuk pintu seperti biasa selepas memberi salam. Pintu cepat dibuka. Yang membukanya Kak Maheran, Ibu Adam yang juga seorang Nurse. Saya terkejut melihat makngah terbaring. Keadaannya lain dari biasa. Adam juga diasuh oleh MakNgah.

Ada seorang lagi makcik yang saya biasa nampak di kejiranan Seksyen 10. Makcik membantu PakNgah dan Kak Maheran menukarkan pakaian MakNgah. Makngah tidak sedarkan diri. Kak Maheran bertanya kepada saya, nampak tak ambulan di luar. Husben yang datang dari belakang terkejut sama. Kami memang ada mendengar bunyi siren ambulan. Tak sangka Kak Maheran yang memanggilnya. Tapi ambulan tak sampai ke blok A12. Blok ini mempunyai jalan yang sedikit tersembunyi. Jadi ambulan tak jumpa jalan. Lantas husben saya diminta untuk memanggil ambulan tersebut.

Kalang-kelibut husben mengambil motosikalnya. Motosikal kami memang diletakkan di sini bagi memudahkan husben pergi ke tempat kerja. Kami sebenarnya menaiki kereta ke rumah pengasuh kemudian menaiki Motorsikal ke tempat kerja. Anak-anak diletakkan kembali ke dalam kereta. Saya bantu apa yang patut dalam rumah. Setelah ambulan sampai, paramedik berkejar ke dalam rumah. Pemeriksaan dilakukan. Saya diluar menenangkan Akhtar yang menagis. Husben bercerita, paramedik menunjukkan alat pengesan degupan jantung pada Pakngah. Nadi Makngah sudah tidak dapat dikesan. Ya Allah, Makngah sudah meninggal!

Pakngah meminta CPR dilakukan atau Makngah dibawa kehospital. Tetapi paramedik menolaknya kerana nadi sudah tiada. Berbeza jika degupan jantung masih dikesan, pasti mereka segera berkejar membawa Makngah. Kami terpaku, Memang jelas, MakNgah telah meninggalkan kami. Padahal lewat pagi sebelum PaknNgah tidur, PakNgah melayan arwah sehingga jam 3 pagi. Saya rasa, kurang 3 jam setelah PakNgah tidur, arwah meninggal dunia. Kak Maheran sendiri ada menceritakan yang beliau telah cuba mengesan denyutan jantungnya ketika sampai jam 6.45 pagi. Tapi Kak Maheran juga gagal mengesannya lantas segera menghubungi ambulan. Ada tanda lain yang diceritakan, tapi saya dah lupa.

KAMI UMPAMA ANAKNYA

PakNgah dan Arwah hanya mempunyai seorang anak perempuan. Adik Zuraidah yang masih belajar perubatan dan berada di Cyberjaya. Zuraidah bergegas balik selepas ditelefon PakNgah. Pada ketika itu PakNgah hanya memaklumkan bahawa arwah pengsan kerana kami belum tahu situasi sebenar. Kami berbincang keperluan mengambil Zuraidah dari Cyberjaya. Akhirnya saya menelefon Zuraida dan bertanyakan lokasinya terkini. Zuraida telah pun berada di stesyen keretapi untuk pulang. Jadi kami hanya akan menjemputnya di stesen LRT Sri Rampai.

Setelah itu, anak-anak dikumpulkan di rumah jiran iaitu Kak Ayu. Anak-anak Kak Ayu juga dijaga oleh arwah. Kemudian husben saya membawa PakNgah membuat laporan di balai polis. Ketika ini jiran semakin ramai. Ramai yang datang ziarah dan bantu menyediakan jenazah. Allah, mereka bukan saudara-maranya. Tetapi jiran tetangga sangat ringan tulang membantunya. Alhamdulillah, saya merasakan arwah memang disayangi jiran-jirannya. Sayu saya rasakan..teringat ibu ayah saya di kampung. Teringat ibu bapa mertua yang duduk di PJ. Saya berdoa, jika sampai janji tuhan menjemput mereka, Allah menghantar bantuan untuk bantu menguruskan mereka. Saya sedar, kami duduk jauh dari mereka. Pasti dan pasti kami akan lambat sampai ke sisi mereka ketika berlaku situasi yang mengejut seperti ini.

Sebenarnya ada yang menyangka kami ini anak PakNgah dan arwah. Mungkin dek kerana kami yang nampak sibuk ke sana-sini. Bagi kami, inilah jasa terakhir untuk orang yang banyak membantu kami. Jasanya tidak dapat dibalas, sampai ke akhir hayat.

ANAK-ANAK

Saya membatalkan niat menghantar Adhwa ke PASTI. Saya menumpang di rumah Kak Ayu menguruskan anak-anak makan. Alhamdulillah, sememangnya Kak Ayu sekeluarga jiran yang baik. Kak Ayu memasakkan sarapan untuk anak-anak yang ada. Disebabkan anak-anak kami ni dijaga arwah, jadi mereka harmoni je main sama-sama. Mudah sikit nak urus. Saya berulang-alik dari rumah Kak Ayu ke rumah arwah untuk membacakan Yassin.

KETIBAAN ZURAIDAH

Pada asalnya saya tidak mahu menceritakan hal sebenar kepada Zuraidah. Tetapi atas nasihat dari seorang kakak, saya sampaikan juga berita ini melalui telefon. Tidak mahu Zuraidah terkejut besar tatkala melihat ibunya terbujur kaku di tengah rumah. Saya menagis menceritakan hal sebenar kepada Zuraidah. Mentelahan, Zuraidah sangat rapat dengan ibunya. Arwah umpama kawan baik dengan anak tunggalnya ini. Kemana-mana, pasti Zuraidah mengajak ibunya.

Apabila Zuraidah tiba, dia menangis semahu-mahunya. Sayu benar saya melihat keadaan itu. Zuraidah anak tunggal, dia merasakan telah hilang segala-galanya. Saya yang memimpinnya masuk untuk melihat jenazah. Saya juga yang membukakan kain penutup wajah arwah. Zuraidah kata, dia tak kuat nak buka sendiri. Selepas tenang, Zuraidah membacakan Yassin buat ibu yang tercinta.

Tidak lama kemudian saya terlihat kelibat seorang anak muda membacakan Yassin di sisi arwah. Saya tidak mengenalinya. Setelah duduk diluar dan kebetulan duduk di sisi husben saya, barulah kami berkenalan. Rupa-rupanya dia adalah 'anak sulung' arwah. Dialah yang pertama diasuh oleh arwah 27 tahun yang lepas. Dek kerana rapatnya dengan arwah, anak muda ini kerap menziarahi arwah. Saya pernah mendengar ceritanya dari mulut arwah sendiri. Arwah telah mengasuhnya dikala tidak lagi punya zuriat sendiri. Kami tak sempat nak tanya namanya, kerana tenggelam dalam kesedihan. Dia terkilan, hujung minggu tadi ada datang ke sini. Ingin menjenguk arwah tetapi arwah tiada di rumah. Saya faham, betapa sedihnya adik ini.

PENGHORMATAN TERAKHIR

Kami bergegas pulang pada pukul 12 tengah hari. Saya perlu bersalin pakaian kerana telah terkena najis ketika membantu pengurusan jenazah. Kami singgah membeli nasi ayam untuk mengisi perut. Almaklum, dari pagi kami sekadar makan mengalas perut. Pasti Anak-anak tak dapat bertahan lama. Belum pun sampai rumah, kami dimaklumkan van jenazah tiba untuk membawa jenazah ke masjid. Jenazah arwah sedikit lambat di mandikan kerana pada hari tersebut terdapat 2 kematian yang lain. Di sebabkan van jenazah hanya 2, kami menunggu agak lama. Alhamdulillah, ia adalah peluang untuk jiran tetangga ziarah buat kali terakhir. Arwah akan disemadikan di Kuang, kampung kelahiranya.

Setelah bersiap, kami bergegas ke Masjid Sri Rampai. Tim pengurusan jenazah menguruskan keperluan kafan dan mandi. Ketika ini, jemaah telah mula memenuhi masjid. Saya tidak mengikut menguruskan jenazah. Menjaga anak-anak yang teruja berada di masjid. Tetapi saya dapat rasakan proses memandikan dan mengkapankan jenazah berlaku sangat cepat. Proses mandi dan kapan (ketika kami sampai) yang bermula sebelum zohor selesai pula selepas solat zuhur, tak sampai pun setengah jam. Allah, mudah betul pengurusan jenazah arwah. Arwah memang orang yang terpilih.

Saya dan Kak Ayu kalang-kelibut menunaikan solat zuhur dan kami agak tertinggal ketika mengiring jenazah. Mujur Kak Ayu dan Abg Samsul tahu kedudukan kampung arwah. Jadi kami konvoi bersama. Tibanya di Masjid Sg. Sireh Kuang, saudara-mara arwah telah menunggu. Saya bersalaman dengan ibu dan sanak-saudaranya. Ibu arwah sangat sedih. Saya memanggilnya nenek dan nenek mengenali saya. Kami kerap berjumpa kerana nenek seringkali bertandang ke rumah arwah.

             Adhwa dan Akhtar yang riuh nak ikut melihat pengkebumian

Setelah selesai solat jenazah, jenazah di bawa ke kubur. Oh saya tidak sempat mahu menunjukkan jenazah arwah kepada Adhwa. Adhwa sangat sayang kepada TokNgahnya ini. Saya sekadar bercerita bahawa TokNgah terbaring di dalam keranda. Sebelum kami bergegas balik waktu tengah hari, Adhwa dan adik mahu berlari masuk kedalam rumah arwah. Ye lah, itulah rumah yang sangat dekat di hati mereka. Ketika itu, Adhwa tahu, jenazah yang terbujur kaku dan tertutup rapat itu adalah arwah. Adhwa ada bertanya, kenapa TokNgah pengsan. Allah, sedih saya dengar. Tau pulak dia yang terbujur itu adalah TokNgah. Dan kini, di kubur, saya sekadar menunggu di dalam kereta bersama anak-anak. Saya cerita pada Adhwa yang jauh dia nampak ramai orang berkumpul itu adalah proses pengebumian TokNgah. Macam-macam yang Adhwa tanya. Saya cuba memahamkannya sedaya mungkin. 

Sebelum dikebumikan, husben bergegas mengejar Zuraidah yang menuju ke kereta di sebelah kami. Rupanya dia mahu mengambil wang sumbangan bagi membayar talkin dan urusan pengkebumian. Husben segera menguruskan wang bayaran bagi semua proses itu. Kami simpati, dengan keadaan Zuraidah yang baru kehilangan ibu dan PakNgah yang masih terkejut, adik ku ini tabah menguruskan hal-hal yang berkaitan. Dia masih muda, masih terkejut, tiada pengalaman tapi mampu menanganinya dengan cepat. Saya kagum dengan Zuraidah. Berulang-kali Zuraidah mengingatkan untuk kami minta balik wang tersebut. Allah, kami tak sanggup dan kami ikhlaskan je. Syukur Ya Allah, kau beri kami kelebihan rezeki agar kami dapat membantu orang lain.

AWAN BERARAK MENDUNG


Semalam, cuaca sangat cerah dan panas. Keadaan beransur redup dan mendung ketika pengkebumian. Setelah selesai dikebumikan, hujan pun turun. Alam seperti menangis bersama. Ya, perginya seorang insan yang mulia. Insan yang ditangannya telah ramai anak-anak terasuh dan 'menjadi manusia'. Alhamdulillah, syukur kami mengenalinya.

Setelah semuanya selesai, kami bertolak pulang. Zuraidah dan PakNgah tinggal di Kuang beberapa hari. Doa saya, PakNgah dan Zuraidah tabah menempuh hari mendatang tanpa MakNgah di sisi. Ya Allah, segera kau hilangkan kesedihan mereka. Gantikanlah dengan kegembiraan. Kuatkan hati-hati mereka, agar terus dekat dengan-Mu...Aminnnn.




Your Shaklee Independent Distributor
                      AwilSkema
♥ SMS | WhatssApp : 013-3786399
♥ Shaklee ID : 926196

♥ Web : emakskema.com
♥ FB Page : http://www.facebook.com/skemahidupsihat
♥ Email : awilskema@gmail.com
  


0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...